Program
Pendidikan Pemulihan Khas mula diberi perhatian oleh pihak Kementerian
Pelajaran Malaysia setelah Laporan Murad
1972 melaporkan terdapat 25% murid- murid sekolah rendah tercicir dan tidak
menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira. Laporan akhbar Berita Harian
keluaran 27 November 2007 menyatakan
kira-kira 100,000 murid Tahun Satu tidak dapat menguasai 3M iaitu membaca,
menulis dan mengira sudah tentu mengejutkan. Jumlah ini mewakili 23 peratus
keseluruhan murid Tahun Satu. (Kementerian
Pelajaran Malaysia)
Fokus
ke arah membasmi masalah 3M ini turut termaktub di dalam Teras Ketiga: Memperkasakan
Sekolah Kebangsaan dan Teras Keempat: Merapatkan Jurang Pendidikan; dalam Pelan
Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006–2010. Melalui kedua-dua teras ini,
beberapa pelan tindakan dirancang untuk memastikan murid-murid menguasai
kemahiran asas 3M pada tahap 1. Kementerian Pelajaran Malaysia telah
memperkasakan Program Pemulihan Khas dengan menaik taraf kelas pemulihan khas dan menyediakan Guru
Pemulihan terlatih yang mencukupi termasuk di Sekolah Kurang Murid (SKM). (Bahagian
Pendidikan Khas, 2012)
Menurut
Mat Nor Husin dan Jais Sahok 1990, konsep pendidikan pemulihan khas ialah
pendidikan yang diberikan kepada murid-murid yang gagal di peringkat bilik
darjah kerana tidak menerima isi pelajaran seperti pencapaian rakan sebaya
mereka yang tidak bermasalah. Bersandarkan kepada pendapat tersebut pendidikan pemulihan khas dapat dirumuskan sebagai satu perkhidmatan
yang diadakan khusus untuk murid–murid yang menghadapi kesulitan pembelajaran khususnya dalam menguasai satu-satu
kemahiran asas seperti membaca, menulis dan mengira yang merupakan fokus utama dalam
Kurikulum Baru Sekolah Rendah” .
Pelbagai
usaha telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan untuk menaiktarafkan Program
Pemulihan Khas di semua jenis sekolah rendah. Jika berbanding dengan zaman
dulu, banyak perubahan dan penambahbaikan yang telah dilaksanakan oleh pihak
kerajaan demi mengurangkan bilangan murid yang mengalami kesulitan dalam
penguasaan kemahiran 3M. Pada zaman dulu, kelas pemulihan tidak dititikberat
oleh semua pihak termasuk para pendidik. Kelas Pemulihan dahulu tidak mempunyai
sistem dan strategi pengurusan yang sistematik dan kekal. Semua sekolah
mempunyai cara pelaksanaan pengurusan yang berlainan, tambahan pula masyarakat
pada ketika itu mempunyai tanggapan yang tidak baik terhadap kelas pemulihan.
Mereka beranggapan bahawa murid yang masuk ke kelas pemulihan merupakan murid
yang teruk dan guru yang mengajar kelas tersebut turut tidak sebaik sejauh mana
sahaja. Peringkat awal pelaksanaan ada kelas pemulihan khas hanya terdiri
daripada satu ‘bay’ atau berada di lorong laluan. Tetap, kini kelas pemulihan
khas telah mengalami transformasi dan mempunyai kelengkapan yang
terbaik bagi menghasilkan kelas yang kondusif yang mampu menjana
perubahan kepada murid-murid pemulihan bagi mengatasi kelemahan mereka.
Malahan,
kelas pemulihan pada masa ini turut dibekalkan peruntukan bagi
menaiktarafkan peralatan dan keceriaan kelas pemulihan. Pelbagai
alat bantu mengajar yang dapat menarik perhatian murid-murid turut dibekalkan kepada
kelas pemulihan. Buktinya, menurut garis panduan program pemulihan khas,
Program Pemulihan Khas telah menerima peruntukan naik taraf dan peralatan melalui
[RMK9/High-Impact Project-(HIPs)]. Selain itu, guru pemulihan boleh menggunakan
peruntukan bagi pelaksanaan Program Pemulihan Khas daripada Bantuan
Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling. Bukan ini sahaja, pihak pentadbir
sekolah perlu memastikan peruntukan PCG bagi Bahasa Malaysia dan Matematik digunasama
oleh guru Pemulihan untuk penyediaan bahan bantu mengajar untuk Kelas Pemulihan
Khas.
Guru
pemulihan kini bukan lagi guru pemulihan yang seperti dahulu. Kalau dahulu,
guru pemulihan adalah terdiri daripada mereka yang berprestasi tidak baik. Guru
Pemulihan pada zaman dulu juga tidak menerima apa-apa latihan yang khusus untuk
mengajar murid pemulihan. Tetapi, kini guru pemulihan ialah guru yang terlatih
dan mereka memang mempunyai kelayakan yang secukupnya untuk mengajar mereka
yang lemah. Menurut Kementerian Pelajaran Malaysia, selama ini, kursus khas
pemulihan hanya dijalankan dalam bentuk kursus dalam perkhidmatan iaitu
melibatkan guru-guru terlatih yang sedang berkhidmat. Kursus yang ditawarkan
adalah dalam bentuk sepenuh masa dan juga dalam cuti dari dua hari hinggalah
satu tahun. Mulai Julai 2007, kursus ini telah ditawarkan sebagai kursus pra perkhidmatan bagi kursus perguruan lepas ijazah.
Kursus ini dijalankan secara sepenuh masa dan juga dalam mod Latihan Perguruan
Berasaskan Sekolah (LPBS) melalui kursus dalam cuti. Latihan perguruan
dalam bidang pendidikan pemulihan terus berkembang ke peringkat Program Ijazah
Sarjana Muda Perguruan yang dilaksanakan secara sepenuh masa bermula
pengambilan pelajar ijazah pertama ini
pada Januari 2009. Sehubungan
itu, kelayakan guru pemulihan telah meningkat dan guru pemulihan kini boleh
dikatakan mempunyai kepakaran yang tinggi untuk mengajar mereka yang lembab
berbanding dengan dahulu.
Lazimnya,
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina majoriti terdiri daripada murid Cina. Oleh sebab,
bahasa pengantar yang digunakan oleh Sekolah Jenis Kebangsaan Cina adalah
bahasa ibunda iaitu bahasa Mandarin. Bahasa Cina merupakan bahasa pertama bagi
murid Cina dalam kehidupan seharian mereka. Mereka biasanya bertutur dan
berkomunikasi dalam bahasa Cina. Hal ini telah menyebabkan penguasaan bahasa
kedua dan ketiga mereka menjadi lemah. Prestasi mereka dalam subjek bahasa
Melayu adalah tidak baik terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan luar
bandar. Program pemulihan khas yang diwujudkan dapat meningkatkan penguasaan
bahasa Melayu mereka. Cabaran yang dihadapi oleh Sekolah Jenis Kebangsaan
adalah kadang-kala guru yang mengajar dalam kelas
pemulihan adalah bukanlah seorang guru yang mengetahui dwibahasa. Hal
ini telah menyukarkan para murid yang tidak tahu berkomunikasi dalam bahasa
Melayu dan guru pemulihan yang tidak dapat berkomunikasi dalam bahasa Cina. Cuba
kita fikir murid pemulihan telah pun seorang yang tidak cerdik, bagaimanakah
mereka untuk memahami penjelasan guru pemulihan yang dalam bahasa Melayu?
Keadaan ini nescaya akan melambatkan proses P&P. Jadi. adalah penting kelas
pemulihan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina diajar oleh guru pemulihan yang
mengetahui dwibahasa agar murid pemulihan akan lebih mudah untuk memahami
penjelasan dan pengajaran daripada guru pemulihan.
No comments:
Post a Comment